Senin, 13 April 2009

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN





Latarbelakang



Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran

di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa

mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk

mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak

negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan

(Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan

dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan

ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan

Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian

dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam

tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan

tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat

untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan

berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang

terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan

Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.



Rasional



Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa

mengambilkira kepada keperluan pembangunan, pembentukan

identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan

berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang

dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan

suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini

mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi

apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi

sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal

satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara

yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.



Objektif



Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta

Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan

dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu

sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara

dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi,

dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi

dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan

berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman

Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan

kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga

kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan

Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi

apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya

ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan

diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini

dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat

yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat

serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-

baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan

yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang

boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan

kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini

menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.



Strategi Pelaksanaan



Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat

Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar

yang utama;

(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan

Malaysia bagi semua jenis sekolah;

(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;

(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;

(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan

menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan

bersepadu;

(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan

tahun;

(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu

dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi

perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik

dan kawasan luar bandar atau pendalaman;

(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru

Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca,

menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada

kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun

1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk

melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu

pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai

moral serta nilai etika yang kukuh;

(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui

penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada

tahun 1978;

(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di

peringkat universiti terutama dalam bidang sastera

gunaan dan sains gunaan;

(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan

disiplin;

(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai

mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan

memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-

bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,

seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis,

pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga

dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga

pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah

selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/

Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa

yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar

Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan

bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.

Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan

Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan

Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks,

Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa

Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran

Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.



Pencapaian Semasa



Di dalam menilai pencapaian semasa, dua matlamat utama Dasar

Pendidikan Kebangsaan yang hendak dilihat ialah:

(a) Sama ada pelaksanaan sistem pendidikan dan kurikulum

yang ada sekarang dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat

dalam jangka pendek dan jangka panjang yang diperlukan oleh

negara; dan

(b) Sama ada sistem pendidikan negara telah dapat melahirkan

rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.

Untuk mengetahui dengan tepat sama ada pelaksanaan Dasar

Pendidikan Kebangsaan telah dapat memenuhi keperluan tenaga

rakyat adalah satu perkara yang sukar. Hakikat ini diakui

oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar

Pendidikan 1974. Antara sebab-sebab yang dinyatakan ialah

kurangnya kajian-kajian dibuat khusus untuk meneliti

kedudukan dan keperluan tenaga rakyat negara ini. Keperluan

tenaga rakyat yang bergantung kepada perkembangan ekonomi

negara memang sukar ditentukan memandangkan perkembangan itu

sangat dipengaruhi oleh iklim ekonomi dunia yang berubah-

ubah. Namun begitu, hasil dari pelaksanaan Dasar Pendidikan

Kebangsaan selama ini, tenaga rakyat yang dihasilkan pada

keseluruhannya dapat memenuhi keperluan gunatenaga negara

kecuali di beberapa bidang tertentu. Selaras dengan Dasar

Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga telah dapat

merapatkan jurang pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum

sama ada di dalam sektor awam ataupun swasta. Di samping itu

ianya telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya

bagi kaum bumiputera yang berpendidikan.

Mengenai matlamat melahirkan rakyat yang bersatupadu,

berdisiplin dan terlatih, ada tanda-tanda yang menunjukkan

bahawa ini telah tercapai. Misalnya kurikulum yang sama dan

bercorak kebangsaan telah sedikit sebanyak menimbulkan dan

memupuk perasaan dan kesedaran kebangsaan Malaysia di

kalangan mereka yang melalui sistem pendidikan kebangsaan.

Namun demikian, sukar dipastikan sama ada perasaan dan

kesedaran itu telah membuahkan perpaduan. Malah, walaupun

perpaduan wujud sekarang ini, sukar hendak dikatakan bahawa

ia adalah hasil daripada sistem pendidikan semata-mata

kerana perpaduan bukannya bergantung kepada satu faktor

sahaja walaupun sistem pendidikan merupakan satu daripada

faktor- faktor penting yang perlu diambilkira.

Pendidikan dan Latihan di Bawah Rancangan Malaysia Keenam

Program pendidikan dan latihan akan dimaju dan

dipertingkatkan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (91-95)

ini untuk melahirkan tenaga kerja yang berpendidikan, mahir

dan terlatih. Setiap individu akan dilengkapkan dengan

pengetahuan dan kemahiran yang sesuai, tetapi juga untuk

melahirkan warganegara yang bertangungjawab serta mempunyai

nilai-nilai moral dan etika yang kukuh. Keutamaan yang lebih

kepada pendidikan dan latihan kerana ia akan membantu kepada

pencapaian matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN,)

terutama untuk membasmi kemiskinan dan juga penyusunan

semula masyarakat. Penyediaan lebih banyak peluang

pendidikan dan latihan akan diberikan kepada golongan yang

berpendapatan rendah, ini akan meningkatkan pendapatan dan

peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dan selanjutnya

menyumbangkan peningkatan agihan pendapatan.



Penutup



Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung

keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan.

Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara

perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan

secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang

tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan

sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi

keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari

segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih

ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang

keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada

kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan

dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta

secara aktif.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar